Pelajar UTP kecewa layanan Petronas

Wakil pelajar Jan 2010

Saya mewakili pelajar lepasan SPM 2009 yang kini sedang menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) kemasukan Januari (menggunakan keputusan percubaan SPM), ingin menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan yang diberikan kepada kami.

Untuk pengetahuan tuan, kami disenaraipendekkan untuk belajar di UTP melalui temuduga dan keputusan percubaan. Mengikut faktanya ,semua pelajar kemasukan Januari dan juga Mei lepas telah ditaja penuh oleh Petronas.

Namun, berbeza pada tahun ini 2010 kerana kami dimaklumkan bahawa terpaksa belajar dengan tanggungan sendiri pada semester pertama dan dijanjikan biasiswa untuk semester kedua (bersama dengan kemasukan Mei 2010).

Walau bagaimanpun, ramai yang terkejut dengan keputusan biasiswa Petronas yang baru dikeluarkan. Hanya 68 orang daripada sekitar 300 pelajar yang ditaja oleh Petronas sedangkan kami semua dijanjikan biasiswa tersebut sekiranya keputusan SPM kami mencapai atau melebihi 9A. Ramai pelajar yang mencapai 10A+ ke atas tidak mendapat tajaan tersebut.

Tambahan lagi, ada sebilangan kecil pelajar yang mana ibu bapanya sanggup berhutang untuk membayar semester pertama dengan harapan ditaja bagi semester kedua berdasarkan apa yang dijanjikan oleh Rektor Universiti Teknologi Petronas , Datuk Dr  Zainal Abidin.

Apa yang mengejutkan, pelajar yang mana ibu bapanya sanggup berhutang telah mendapat keputusan yang amat cemerlang  iaitu 13A dalam peperiksaan SPM 2009 akan tetapi tidak mendapat biasiswa Petronas.

Berita ini telah mengecewakan ramai pihak kerana kami telah membayar sebanyak RM5,692 dan juga RM720 untuk yuran pendaftaran untuk semester pertama. Lebih-lebih lagi dengan kos hidup yang tinggi di sini. Kami semua (termasuk ibu bapa) telah merasa begitu bangga kerana layak untuk menjejak kaki di UTP ini, tetapi kami dilayan sebegitu rupa. Disebabkan keadaan ini, ada yang telah keluar daripada sini dan memasuki  matrikulasi dan IPTA. Mereka telah membazir masa dan wang yang banyak. Kami seolah-olah dipermainkan dan diperniagakan.

Untuk pengetahuan tuan, kemasukan Mei  2010 ini, majoritinya ditaja oleh Petronas. Memang benar PTPTN ada memberikan pinjaman kepada pelajar IPTA dan IPTS , namun pinjaman yang diberikan setiap tahun tidak dapat menampung yuran pengajian yang agak mahal berbanding IPTA.

Untuk pengetahuan tuan, yuran bagi satu tahun pengajian asasi adalah sebanyak RM14,235. Apa yang dimaklumkan kepada kami, PTPTN hanya memberikan pinjaman maksimum sebanyak RM7,000 bagi setahun pengajian asasi . Hal ini jelas bahawa pinjaman yang diberikan oleh PTPTN tidak cukup untuk membiayai kos pengajian asasi selama setahun di sini.

Selain itu , kami telah membuat beberapa perbincangan dengan wakil pelajar UTP dan Education Support Unit (ESU) daripada KLCC. Akan tetapi kertas kerja yang dibuat oleh wakil pelajar UTP tidak dilayan oleh piihak ESU. Kami begitu kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak Petronas iaitu sebuah badan kebajikan dan mempunyai ‘social responsibility’ yang tinggi namun sanggup tidak menepati janji.

Akhir sekali, kami berharap agar pihak tuan dapat membantu dengan mencari jalan penyelesaian agar pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan dari segi kewangan seperti kami dapat meneruskan pengajian di sini. Kami juga berharap dengan pennyebaran masalah ini dalam media massa dapat menyedarkan pihak Petronas dan UTP atas masalah sebenar yang kami hadapi.

Sekian terima kasih.

sumber: harakahdaily

Faris Al-Muhandisu: Malu pulak nak mengaku student UTP. Malu jugak nak promot UTP kat adik-adik. Dunia-dunia. Result tinggi pun susah, result rendah lagi susah. Mak ayah dah bergadai harta, tanah, binatang ternakan dan sebagainya nak bagi anak masuk UTP. Ini pulak jadinya. Dulu YB Izzah Anwar sanggup berhenti daripada UTP semata-mata untuk berjuang membela ayahnya. Kini, adik-adik kita terpaksa keluar daripada UTP atas hujah-hujah yang dangkal daripada PETRONAS. UTP ni universiti idaman. Tak dapat nak bayangkan perasaan ibu bapa mereka. Sampai tahap sanggup pindah ke matrikulasi dan tempat pengajian awam lain setelah menghabiskan beribu-ribu di UTP tanpa ditebus kembali. Apa kes? yang jelas ada satu kenyataan dalam surat ni salah. PETRONAS bukan badan kebajikan ya. PETRONAS adalah sebuah entiti korporat. In whatever they do, money is their main concern. The only thing you can do is to challenge them in court provided you have enough proof of course. I feel sorry for you.