Assalamualaikum,

SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua guru termasuk ibu bapaku sendiri. Sungguh tiada kerjaya yang lebih mulia melainkan mendidik orang lain sehingga berjaya. Sesungguhnya tangan yang memberi pastinya lebih mulia daripada tangan yang menerima (tiada kaitan dengan RASUAH).

Sebagai anak kepada dua orang guru, malah datuk dan nenek pun guru (guru sekolah dan guru mengaji Al-Quran), betapa kami adik-beradik mengerti kehidupan mereka. Sekurang-kurangnya kami berada di posisi untuk menilai keikhlasan seorang guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Bayangkan, seorang guru sanggup meninggalkan anak-anak mereka tak kira waktu semata-mata untuk menyampaikan ilmu kepada murid-murid mereka. Sanggup diganggu pada waktu yang sungguh berharga bersama keluarga semata-mata untuk melihat murid-murid mereka berjaya. Merotan, memarahi malah memukul hanya untuk satu tujuan! Untuk mengajar anak didik mereka menjadi ORANG bukan HAIWAN! Tetapi malangnya ramai anak-anak didik mereka pada zaman kini telah menjadi HAIWAN terlebih dahulu sebelum dididik. Salah siapa?

Ya, benar bukan semua guru yang ikhlas. Ada yang malah sanggup merosakkan anak-anak didik mereka kerana… macam-macam sebab. Mungkin dendam, dengki, politik dan sebagainya. Hal ini dialami oleh kami sekeluarga sendiri. Guru-guru pada masa kini ditekan dari segenap penjuru menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik. Salah siapa? Tanyalah Dato’ Seri Muhyidin awak tu…..

Banyak kenangan manis sepanjang zaman persekolahan dahulu. Rindu untuk kembali ke SK Tanah Merah 1, SK Dato’ Hashim 2, MRSM Kuala Lipis dan MRSM Pengkalan Chepa. Saya masih ingat cikgu pertama yang mengajar saya iaitu Cikgu Norizan. Dia cikgu pertama yang saya ketemu sewaktu menjejak langkah memasuki darjah 1 SK Tanah Merah 1. Dulu saya dicop antara murid yang nakal (tapi geliga ek.. hehe). Sayalah antara ‘target’ untuk didenda hampir setiap hari atas kesalahan tak siap kerja rumah, kacau orang dan macam-macam lagi. Tapi ironiknya, saya antara pelajar yang ‘top’ walaupun geng saya yang sama2 tak siap kerja rumah dan suka pukul orang biasanya berada di tempat tercorot. Cikgu Norizan la yang banyak mengambil tahu tentang saya tatkala tiada seorang pun yang bagi muka kat saya ni. Selepas dia berpindah, dia kerap hantar surat. Tapi tak lama kemudian hubungan kami terputus. Entah di mana dia sekarang ni.

Dan sejarah perubahan diri bermula ketika di SK Dato’ Hashim 2, Pengkalan Chepa. Di sekolah ini, saya mula bergaul dengan anak-anak penagih dadah, mat rempit dan anak-anak orang miskin yang terpaksa bekerja menjadi caddy di padang golf semata-mata ingin mencari duit makan dan biaya persekolahan. Saya juga dihantar oleh ibu bapa ke sebuah pusat pengajian Al-Quran terkenal di sana, tempat saya mengenali seorang ustaz yang cukup bijak mengendalikan pelajar ‘bermasalah’ seperti saya. Saya amat menghormatinya sehingga saya mampu berubah menjadi sedikit ‘thiqah’ di hadapannya dan perlahan-lahan berubah menjadi baik di belakangnya… hehe. Terus saya mampu mengimbangkan kehidupan saya di sana sehingga pencapaian akademik saya di sana meningkat dan terus kekal berada di top 3 sehingga mencapai 5A dalam UPSR 2001. Percayalah, di sekolah ini, saya pernah terjebak dalam situasi pergaduhan yang mana ada kawan yang membawa keris untuk mempertahankan diri. Alhamdulillah, saya berjaya memujuknya dan meleraikan pergaduhan. Begitulah kisah kehidupan di kawasan yang paling banyak jenayah di Kelantan selain Golok.

Kisah diteruskan di MRSM Kuala Lipis. Guru homeroom yang pertama ialah Cikgu Yusof. Saya sangat rapat dengan beliau. Beliau adalah orang yang pertama mengesan bakat berpidato dalam diri ini dan mengambil saya mewakili maktab untuk pertandingan Pidato Minggu Bahasa. Saya berjaya mendapat tempat ke3 untuk pertandingan pidato kali pertama saya… not bad.. hehe… beliau berpindah ke MRSM Pengkalan Chepa ketika saya di tingkatan 2 dan guru homeroom saya seterusnya ialah Puan Rahmatul Aida (kini ketua jabatan matematik MRSM Kuala Lipis)… sangat lembut dan bersifat keibuan orangnya. Dialah antara orang yang bertanggungjawab membantu saya mengekalkan prestasi akademik dalam keadaan sangat sibuk dengan aktiviti kokurikulum. Walaupun sangat sibuk dan tertekan ketika memegang jawatan selaku Timbalan Presiden BWP ketika hanya di tingkatan 2, saya masih konsisten berada di ranking top 3 dalam keadaan sentiasa terlelap dalam kelas, kerap ponteng kelas, prep dan sebagainya. Saya amat terhutang budi dengan beliau kerana memberikan saya semangat dan tips-tips berguna dalam mendepani situasi seperti ini. Sehinggakan ‘best student’ MRSM Kuala Lipis adalah daripada homeroom saya dan saya no 2.. hehe… Memang sudah diiktiraf Puan Rahmatul Aida sebagai Penasihat Homeroom TERBAEK!

Perjalanan diteruskan ke MRSM Pengkalan Chepa setelah berjaya menggondol 8A dalam PMR. Cikgu homeroom pertama saya ialah Ms. Marina (english teacher). Seorang yang sangat open walaupun seorang warden. Ketika saya dikritik hebat, beliau adalah antara yang tampil membantu. Beliau sanggup meluangkan waktu mendengar luahan hati saya yang tak seberapa ni dan memberi nasihat. Beliau antara yang amat memahami diri ini. Terus saya dilantik menjadi BWP, dan berada di bawah naungan Puan nur Ashikin(Mami), cikgu asrul dan cikgu saliza. Hubungan kami lebih dari sekadar pelajar dan guru. Kami adalah umpama sebuah keluarga. Selaku pemimpin pelajar, saya mengenali dan rapat dengan hampir semua guru walaupun tidak mengajar saya. Justeru, saya banyak memperoleh ruang untuk menadah ilmu secara tidak langsung dan mendengar rahsia-rahsia yang tak pernah terungkap. Di tingkatan 5, berlaku rombakan homeroom. Penasihat homeroom yang baru ialah Ustazah Zabedah. Ketika sebulan sebelum SPM, saya ditimpa musibah dan terpaksa berulang-alik ke hospital. Saya amat tertekan dalam keadaan SPM makin menghampiri. Betapa hubungan yang baik dengan guru membawa berkat. Dalam keadaan begitu, saya mampu menjawab soalan dengan baik dan yakin dan seterusnya memperoleh keputusan yang cemerlang.

Begitulah serba sedikit kisah zaman persekolahan dulu… moralnya disini, hormatilah guru anda… jangan derhaka takut disumpah menjadi haiwan… memang bukan haiwan secara fizikal, tapi akal tu akal haiwan. Memang keras sikit sebab saya cukup membenci mentaliti untuk menyalahkan guru melainkan memang dia tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. Meskipun begitu, guru masih BELUM LAYAK DIMAKI… mungkin dia perlukan pandangan atau nasihat daripada kita… mudah-mudahan dikurniakan rahmat kepada semua guru yang telah berpenat lelah mendidikku. Moga mereka diteguhkan iman dan dilindungi daripada kezaliman anak-anak didik yang tak tahu malu dan UMNO/BN yang durjana…. Amin..

Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang telah Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami (pengetahuan tentang isi Al Kitab), kemudian dia melepaskan diri dari pada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. (Al-A’raaf: 175)