Assalamualaikum, salam siasah…

baru sebentar tadi ana mengikuti siaran rancangan Hujah di TV9 dengan tajuk ‘Budaya Politik Kelantan’. Siaran kali ini menampilkan 2 orang ahli panel yang bukan orang Kelantan iaitu YB Dato’ Sri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang dan YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam. Seperti biasa, moderator Hujah ialah Prof. Madya Mohd. Agus Yussoff, Pensyarah Sains Politik UKM yang begitu pekat loghat Kelantannya.

Prof. Madya Agus

Sebagaimana biasa, pelbagai idea kelakar yang dilontarkan oleh Dato’ Sri Adnan terhadap orang Kelantan sama seperti orang dari negeri lain yang tidak arif tentang rakyat Kelantan. Antaranya ialah apabila beliau ditanya tentang pencerahan politik yang dialami rakyat Kelantan, beliau dengan nada sinis mengatakan rakyat Kelantan hanya berminat mendengar ceramah-ceramah politik disulami dengan unsur keagamaan dan hanya mengharapkan ganjaran selepas mati yang dijamin oleh PAS. Kenyataan ini membuatkan kami sekeluarga bersama YB Khalid di sebelah beliau tergelak besar.Tidak disangka-sangka seorang Menteri Besar boleh mengeluarkan kenyataan sedangkal ini. Seolah-olah kami Rakyat Kelantan begitu jumud untuk ke arah satu ekstrim yang bertentangan dengan ekstrim UMNO. Ketahuilah PAS itu hanya kulit sebagaimana kata Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Yang lebih penting adalah isinya iaitu Islam. Islam itulah yang membawa keseimbangan antara pembangunan jiwa dan material. Menolak material bermakna menolak Islam juga. Jelas jiwa sekularisme membius minda Dato’ Sri Adnan. Kelantan pernah berada di bawah BN. Rakyat Kelantan juga boleh menolak PAS dengan mudah sekiranya mereka beralih arah perjuangan.

Beliau juga dengan angkuh menyatakan bahawa BN mempunyai peluang besar untuk merampas Kelantan sekiranya Datuk Nik Aziz sudah tiada.Satu lagi kenyataan bersifat utopia oleh beliau. Ya, itu mungkin sekiranya tiada pemimpin yang berkebolehan dari PAS Kelantan. Tapi PAS Kelantan masih belum miskin pemimpin yang hebat dan berkemampuan.

Sebagai rakyat Kelantan, ana agak berkecil hati terhadap tanggapan negatif oleh kebanyakan non-Kelantanese terhadap negeri Cik Siti Wan Kembang. Antara yang paling kerap diperkatakan ialah keterikatan rakyatnya dengan sifat Primodialisme atau kedaerahan. Rakyatnya juga dikatakan mundur dari aspek pembangunan.

Kenapa? Adakah kerana mereka asyik bertutur dengan loghat Kelantan? Kurang pembangunan? Tiada bangunan-bangunan pencakar langit yang tinggi? Tidak boleh menerima orang bukan Kelantan? Tiada disko? Tiada arak? Parti pemerintah berbeza?

Pandangan sebegini hanya timbul daripada pemerhati-pemerhati luar yang tidak pernah melihat sendiri negeri Kelantan. Adakah bercakap dengan loghat Kelantan ni jumud sangat? Bagaimana pula dengan orang Kedah? Come on la… tidak semestinya kerap kecek Kelate tu indikator semangat kedaerahan yang tebal. Bergaul dahulu baru tahu. Tiada pembangunan? KB Mall tu adalah supermarket yang mencatatkan jualan paling tinggi antara supermarket di Malaysia pada tahun 2008. Tak cukupkah untuk menggambarkan kuasa membeli Rakyat Kelantan? itu belum diambil kira jumlah jualan TESCo, Billion, The Store dan beberapa lagi supermarket milik rakyat tempatan seperti Pantai Timur, Arena dan sebagainya. Tidak termasuk lagi pasar borong terbesar di Malaysia iaitu Pasar Wakaf Che Yeh yang kini berwajah baru.

Bagi pengetahuan semua, ramai ahli parlimen Kelantan terutamanya dari PAS bukanlah anak Kelantan seperti YB Salahudin Ayub, YB Dr. Hatta dan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa. Ini jelas menolak tuduhan rakyat Kelantan bersifat Primodialisme. Sejarah sejak dari awal telah membuktikannya dengan penerimaan Dr. Burhanudin Helmy oleh rakyat Kelantan walaupun beliau bukan dari Kelantan.

Mungkin di kemudian hari ingin ana kongsikan bersama antum semua keunikan Kelantan. dari aspek sosio-budaya, kraftangan, makanan, politik dan sebagainya.. cukup di sini dahulu.. wallahu’alam