Oleh: Hj. Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif

Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi,

Universiti Kebangsaan Malaysia.

Istilah atau konsep merantau mempunyai konotasi sosiobudaya dan politik yang tersendiri. Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa merantau adalah satu aktiviti yang lumrah bagi semua makhluk Allah khususnya manusia. Di kalangan haiwan ada beberapa jenis burung yang terbang secara kelompok atau secara jamaah dari satu tempat ke satu tempat yang lain yang kadang-kadang melibatkan ratusan kilometer jauhnya.

Begitu juga sejarah tamadun manusia memperlihatkan kepada kita bagaimana kelompok manusia berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Pergerakan atau migrasi merentasi sempadan ini adalah merupakan sesuatu yang fitrah kepada makhluk ciptaan Allah bagi tujuan mempereratkan lagi hubungan di antara makhluk ciptaan Allah dalam saat yang sama memberi peluang kepada manusia khususnya merenung tentang keagungan Allah itu sendiri.

Berdasarkan hakikat umum di atas, maka kewujudan anak-anak Kelantan di luar Kelantan bukanlah sesuatu yang pelik ; dan sudah semestinya bukan sesuatu yang bersifat negatif. Ia berlaku semasa Kelantan di perintah oleh BN dan semasa Kelantan di perintah oleh PAS (BA). Ia juga berlaku kepada masyarakat Minangkabau di Indonesia. Ia juga berlaku kepada masyarakat Cina yang dikenali sebagai masyarakat Cina seberang laut (oversea Chinese) yang begitu berpengaruh dalam bidang ekonomi. Kita dapat menjangkakan bahawa fenomena globalisasi akan mempertingkatkan lagi keupayaan manusia, termasuk masyarakat Kelantan, untuk merantau.

Atas perkiraan bahawa merantau merupakan satu sifat semula jadi atau fitrah manusia, ia juga dari satu segi merupakan sebahagian dari sunnatullah. Dari sudut ini, ia mempunyai hikmah atau aspek-aspek positifnya yang tersendiri. Dari perspektif pendidikan Islam, ia merupakan satu bentuk rehlah yang mempunyai peranannya yang penting. Para ulama besar seperti Imam Malik, Imam Shafie dan Imam Al-Ghazali menggunakan kaedah merantau atau rehlah untuk mencari dan menuntut ilmu. Mengembara atau merantau bagi tujuan menuntut ilmu adalah sesuatu yang sejajar dengan tuntutan Al-Quran. Kaedah ini juga menjadi ikutan para ulama dari Kelantan sendiri. Sebagai contohnya, YAB Tuan Guru pernah belajar di Jertih, Terengganu dan dari Jertih ke Doeband di India dan akhirnya ke Al-Azhar Mesir. Menimba ilmu melalui proses perantauan ini memantapkan lagi konsepsi ilmu seseorang kerana ianya digarap oleh pelbagai pengalaman yang berbeza yang terhasil dari persekitaran yang berbeza.

Apabila anak perantau berada di tempat yang asing, akan lahir semangat juang yang gigih dalam apa saja bidang yang diceburi. Inilah yang terjadi kepada anak-anak perantau Kelantan. Para pelajar dari Kelantan yang merantau akan kembali dengan ijazah yang cemerlang. Di antara anak-anak Melayu yang berjaya dalam bidang akademik, sebahagian besarnya berasal dari Kelantan. Sekadar untuk menyebut beberapa nama, Prof. Dr. Shahrir Mohd Zain dari Pasir Putih merupakan anak Melayu pertama yang memperoleh ijazah Ph.D dalam matematik. Begitu juga dengan Prof. Dr. Zawawi dari Kota Bharu merupakan anak Melayu pertama menggondol ijazah Ph.D dalam bidang kejuruteraan. Beliau pernah bertugas sebagai Naib-Canselor Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS). Insan istimewa yang cacat penglihatan seperti Prof. Dr. Ismail Salleh adalah juga dari Kelantan.

Semangat perantau (immigrant spirit) juga telah dilihat oleh pengkaji terkenal seperti Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas sebagai faktor terpenting menyumbang kepada terbinanya budaya keusahawanan seseorang individu. Pandangan ini amat bertepatan, kerana golongan korporat juga ramai yang berasal dari Kelantan. Nama-nama seperti Tan Sri Wan Azmi, Dato’ Nadzmi dan sebagainya terukir di pemikiran kita. Sebagai perantau mereka tinggal di luar Kelantan tetapi mereka juga mempunyai keterikatan emosi yang kental dengan kampung halaman di mana mereka di lahirkan.

Budaya perantau bukan sahaja mempunyai kesan yang tersendiri kepada aspek pendidikan dan ekonomi, ia juga turut mempengaruhi budaya politik masyarakat Kelantan. Apabila parti politik gabungan BA yang diketuai oleh PAS memenangi pilihan raya umum 1990, Kelantan telah dikritik hebat oleh penganalisis politik dari luar Kelantan. Mereka mengandaikan bahawa kemenangan BA disebabkan oleh faktor budaya kedaerahan (primordialism) yang kental yang dimiliki oleh rakyat Kelantan sehingga mereka sanggup menutup minda mereka. Minda mereka telah diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung. Kejayaan sebahagian dari individu yang kita sebut di atas secara jelas menolak pandangan yang sempit ini. Budaya perantaulah, sebaliknya, yang telah membuka minda masyarakat Kelantan untuk bereksperimen dengan perubahan, terutamanya perubahan politik. Ini dapat dilihat dalam mana dari dulu lagi masyarakat Kelantan bersedia untuk menerima orang luar sebagai calon untuk bertanding di kawasan mereka. Nama-nama seperti Prof. Dzulkifli Mohammad, Abu Bakar Hamzah dan terkini Mohd Sabu terukir dengan jelas dalam diari politik Kelantan.

Budaya perantau yang positif yang dimiliki oleh masyarakat Kelantan amat berkait rapat dengan sifat — dalam istilah ahli sejarah yang terkenal Prof. William Roff – Self-determining. Ini bererti masyarakat Kelantan mempunyai sifat tawakkal yang tinggi. Ini adalah juga manifestasi dari budaya ilmu Islam yang mantap yang dimiliki oleh anggota masyarakatnya. Ini juga bermaksud perlakuan masyarakat Kelantan adalah adunan dari sifat individualistik dan kolektif.

Sifat individualistik masyarakatnya bukanlah yang tunduk kepada kerakusan budaya materialisme dan berkepentingan diri ala masyarakat kapitalis Barat tetapi digerakkan oleh elemen tawaddu’. Yang ada pada masyarakat Kelantan adalah tawaddu’ bukan rendah diri. Ini dijelmakan dalam istilah amba. Konsep amba bukan jelmaan dari perkataan hamba abdi dalam konteks hubungan antara manusia yang berbeza taraf tetapi lebih kepada hamba Allah yang terangkum dalam konsep ubudiyyah itu sendiri. Konsep amba di sini mempunyai kekuatan dalaman, mempunyai izzah. Konsep amba diadunkan dengan konsep kita yang mencerminkan dimensi kolektivitinya.

Gabungan antara amba dan kita akan melahirkan kesedaran kolektif (collective conscience) dan kesedaran kolektif inilah yang telah menggerakkan perubahan politik dalam masyarakat Kelantan. Secara ringkasnya, dapatlah dihujahkan di sini bahawa budaya perantau masyarakat Kelantan adalah, dari satu segi, cerminan kepada budaya induknya.

Ulasan:

Ana sendiri lahir dalam keluarga perantau. Ana lahir di Kelantan namun dibesarkan di Selangor sehingga usia 6 tahun disebabkan ibu bapa yang bekerja dan sambung belajar di sana. Belajar pun kebanyakannya di luar Kelantan kecuali sewaktu sekolah rendah dan tingkatan 4-5. Sewaktu tingkatan 1, ana telah ditawarkan untuk menyambung belajar di MRSM Kuala Lipis. Terus setuju untuk merantau ke sana. Padahal, ana boleh mendapatkan pendidikan yang jauh lebih baik di negeri sendiri. Sekolah elit seperti Sek. Men. dato’ Ahmad Maher mempunyai rekod akademik yang lebih baik jika tidak setaraf dengan MRSM. Begitu juga dengan SMKA, sekolah swasta dan Maahad yang berlambak-lambak di negeri ini. Malah, boleh je nak mintak pindah ke MRSM di Kelantan. Tapi kebanyakan kami memilih untuk merantau. Kenapa? Sudah terjawab dalam artikel di atas mungkin.

Justeru, rakyat Kelantan mampu membandingkan dengan rasional sosio-budaya di luar Kelantan dan di Kelantan sendiri. Mereka tidak pernah takut dengan perubahan sebagaimana orang Melayu di negeri lain yang sebahagiannya masih mewarisi sentimen Melayu feudal ini. Buktinya jelas, Kelantan yang paling kerap bertukar pemerintah sejak kemerdekaan Malaysia.

Siri ini akan disambung dengan pelbagai fakta menarik.. TQ