“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (An-Nahl: 115)

Akhirnya setelah hampir 4 bulan penyakit Influenza A dikesan, UTP terpaksa ditutup berkuatkuasa pada pukul 3 petang 31/7/2009 walaupun tiada satu warga UTP pun disahkan positif menghidap penyakit tersebut setakat ini. Walau bagaimanapun hampir 100 orang pelajar terpaksa dikuarantin akibat mengalami simptom Influenza-like Ilnesses (ILI). Setakat hari ini 1 Ogos 2009 di Malaysia, 1390 kes dilaporkan, 1362 pesakit sudah sembuh. Hanya 17 pesakit masih dirawat di hospital termasuk 8 di ICU dan 11 yang lain menerima rawatan di rumah.

Sememangnya segala apa yang ada pada babi menyusahkan hidup manusia sejagat. Sedangkan harimau atau singa perlu mengaum untuk menakutkan manusia. Namun, babi hanya perlu bersin dan seluruh dunia pasti panik. Pelbagai bahana yang dibawa babi bermula dengan Japanese Echepalitis (JE), Nipah Virus, Selesema Burung (H5N1) dan tidak lama setelah kes Selesema Burung reda, terkini datang pula Selesema Babi. Ironiknya, babi juga dikaitkan dengan kecomelan di negara-negara Eropah. Namun, bagi orang Melayu di Malaysia, menyebut perkataan ‘Babi’ itu sudah menimbulkan kengiluan dan kemualan yang amat sangat. Sememangnya banyak kajian telah membuktikan bahawa babi adalah vendor virus yang paling ‘canggih’ kerana mampu mengubah strain virus dengan pantas. Najisnya juga paling sukar untuk terbiodegradasi secara semulajadi menyebabkan pencemaran kepada air dan tanah.

Jadi, babi sangat menyusahkan kami pelajar UTP. Kenapa? Disebabkan babi, UTP terpaksa ditutup secara mendadak dan kami terkial-kial mencari tiket bas untuk pulang. Tambah menyusahkan ialah tiket ke pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu sudah habis untuk 2 hari iaitu 31/7 dan 1/8. Lalu, ramai yang terpaksa mempertimbangkan alternatif pergi ke KL dahulu sebelum membeli tiket bas pulang ke negeri masing-masing walaupun alternatif tersebut sangat berisiko tinggi.

Silap Naik Bas

Kisah saya dan beberapa orang rakan mungkin lebih menarik. Saya dan Muhammad terpaksa menghadiri mesyuarat tergempar Pesta Konvo pada pukul 8 pagi. Program yang menelan belanja beratus-ratus ribu ringgit ini mungkin mengalami risiko ditangguhkan akibat cuti yang mendadak ini. Hal tersebut akan menyebabkan defisit yang tinggi bagi sekretariat. Mesyuarat luar biasa yang memakan masa hampir 4 jam tersebut telah memutuskan beberapa alternatif baru untuk memastikan kelangsungan Pesta Konvo 2009. Walau bagaimanapun, keputusan masih tertakluk kepada pihak Rektor UTP. Jadi, ingin dijelaskan kepada sahabat-sahabat yang tertanya-tanya, bahawa Pesta Konvo tetap akan berjalan seperti biasa termasuk acara-acara yang telah dirancang sebelum ini (kecuali perubahan tarikh bagi Futsal Fever) melainkan ada notis rasmi daripada pihak atasan/Sekretariat Pesta Konvo yang menyatakan sebaliknya.

Selepas mesyuarat tersebut, kami terpaksa berkejar-kejar ke sana ke mari untuk menyelesaikan beberapa masalah yang timbul. Justeru, langsung tidak mempunyai masa untuk mencari tiket bas sama ada yang ditempah khas atau yang dibeli di luar. Saya hanya pulang ke bilik pukul 6.15 petang dengan perut yang kosong kerana langsung tidak makan nasi daripada pagi. Amat meletihkan. Terbaring di bilik Muhamad kerana langsung tak bermaya. Baharudin pun ada. Kami masih berada dalam kebimbangan kerana sekiranya kami tidak keluar daripada UTP sebelum 12 tengahari 1/8, kami pun akan dikuarantin. Terbayang dalam minda filem Resident Evil sewaktu penduduk Racoon City terpaksa dikuarantin akibat jangkitan virus walaupun sebenarnya ia tidaklah seteruk itu.. haha

Tepat pukul 6.20 petang, Baha menerima panggilan daripada seorang senior yang menyatakan bahawa masih ada 5 tempat kosong untuk sebuah bas yang disewa khas. Saya, Muhamad dan Baha terus berkejar ke V2 dengan hanya berbekalkan beberapa teguk air mineral untuk menjana tenaga. Sebaik sampai di pintu bas, terus saya membayar tambang tanpa menyedari bahawa bas itu sebenarnya menghala ke Kuala Terengganu. Langsung tertidur sebaik sahaja mengambil tempat di bahagian hadapan. Berhenti sebentar di RnR Sungai Perak untuk solat dan makan malam. Akhirnya perut terisi juga walaupun makanan di situ agak mahal.

Sambung tidur lagi. Sebaik sahaja sedar, bas sudah berada di Machang. Mula rasa tidak sedap hati kerana tidak pernah bas dari Perak ke Kota Bharu melalui Machang. Lalu, saya mesej Muhamad tapi dia lambat balas. Saya tanya abang kat sebelah saya memandangkan dia ketua rombongan. Dia memaklumkan kepada saya bahawa bas itu menghala ke Kuala Terengganu dan tidak akan memasuki bandar Machang mahupun Pasir Putih. Dia mencadangkan supaya saya hanya turun di tepi jalan. But it’s not feasible since it’s going to take 30 minutes from Pasir Puteh to Kota Bharu. Is it good for us to call our parents early in the morning just to fetch us up 30 minutes away from our home?

Jadi, kami mengambil keputusan untuk turun bersama pelajar dari Jerteh berhampiran Masjid Jerteh. Melihat senibina masjid tersebut yang indah dan cukup besar membuat kami termenung sejenak mengimbas kembali sirah. Masjid Dzar yang dibina oleh golongan munafik pernah dibakar oleh para sahabat atas tujuan pembinaannya yang sudah tersasar jauh daripada dasar ketaqwaan kepada Allah. Jelas di sini, bina masjid tak semestinya Islamik, yang penting atas dasar apa masjid itu dibina. Kalau untuk menang pilihanraya, rakyat Malaysia tidak buta.

Lebih kurang pukul 3.45 pagi, bas menuju ke Kota Bharu dari Kuantan berhenti menurunkan penumpang, kami menumpang bas tersebut untuk pulang. Alhamdulillah, selamat sampai di rumah pada pukul 5 pagi. Hari yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Segalanya kerana babi.

Kenyataan rasmi cuti H1N1 UTP di sini

P/S: Geli hati bila orang bandingkan Yasmin Ahmad dan Majid Majdi… owh tidak..