Sudah berpuluh-puluh kali pemimpin UMNO melaungkan bahawa UMNO adalah parti Islam. Sejak dari zaman Tunku Rahman hinggalah ke zaman Pak Lah dengan Islam Hadhari yang sudah tidak pasti ke mana hala tujunya. Kali ini, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pula melaungkan slogan yang sama. Atas dasar apa mereka mengatakan mereka parti Islam? Memetik kata-kata PM

“Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?”

Adakah dengan membasmi kemiskinan dalam kalangan umat Islam merupakan dasar utama kepada perjuangan Islam? Pernah mereka tahu apakah konsep ‘Hizbullah (Parti Allah)’ yang disebutkan dalam Al-Quran? Mungkin terlalu dalam dan berat untuk dibedah konsep-konsep asas haraki ini. Di ruangan ini, biarlah saya membincangkan secara mudah persoalan ini.

Kita tidak perlu mempertikaikan kebaikan dan kebijaksanaan kerajaan dalam membentuk FELDA untuk membantu golongan miskin. Orang bukan Islam malah orang Yahudi pun membantu orang miskin. Kerajaan Israel, siap bagi tanah percuma yang dirampas daripada rakyat Palestin kepada orang Yahudi yang baru berpindah ke Israel dari Eropah. Justeru, apa yang nak dihairankan? Nak buat baik tak semestinya orang Islam. Malah, boleh jadi orang bukan Islam jauh lebih baik daripada orang Islam.

Mungkin ada sesetengah pihak yang mendakwa orang UMNO pun sembahyang 5 waktu jemaah di masjid, membaca Al-Quran dan berpuasa. Itu perkara asas yang tak perlu diperbahaskan. Orang yang berzina, minum arak mahupun berjudi juga boleh melakukan ibadah khas tersebut. Malah, ramai orientalis barat yang sah bukan Islam hafaz 30 juzu’ Al-Quran. Maka, apakah masalah sebenar yang berlaku? Nun di pedalaman FELDA, berapa ramai anak-anak muda terlibat dengan masalah sosial. Masalah rasuah yang kian menggugat kredibiliti kerajaan pemerintah sehingga ‘diiktiraf’ oleh AMNESTY International antara negara yang mempunyai indeks rasuah yang tinggi. ‘Kebocoran’ di sana sini. Itu perkara-perkara yang boleh dianggap furu’. Lalu bagaimana dengan perlembagaan Malaysia, isu murtad dan isu perundangan Islam? Di sini lah terletak isu dasarnya iaitu isu AKIDAH!

Firman Allah:
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Berapa banyak Majlis tadarus atau Tilawah Al-Quran yang diadakan jika dibandingkan dengan Konsert-konsert artis antarabangsa? Berapa banyak majlis ilmu yang diberi sokongan oleh kerajaan (itupun atas kepentingan politik) jika nak dibandingkan dengan pusat-pusat hiburan, judi dan arak yang diberi lesen untuk beroperasi? Bagaimana pula soal sistem pemerintahan Islam yang jelas ditolak oleh UMNO?

Firman Allah lagi
“…. dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (Al-Maa’idah: 2)

Mantan PM, Tun Abdullah Badawi dengan jelas mengatakan bahawa Perlembagaan Malaysia lebih tinggi daripada Islam. Dato’ Jamaludin Jarjis dalam satu sidang parlimen ketika berbahas dengan Tuan Guru Haji Hadi menyatakan bahawa kita harus memisahkan soal pendidikan dengan Islam? 2 kenyataan daripada pemimpin ‘hebat’ ini sudah cukup untuk menjelaskan pendirian mereka yang menolak sebahagian Islam. Namun dalam Surah Al-Baqarah Allah menyatakan:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Formulanya mudah, Islam itu datang secara ‘pakej’. Tolak 1 bermakna tolak semua. Apatah lagi yang ditolak itu merupakan perkara-perkara Akidah.

“Sesungguhnya kami Telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi), yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendeta-pendeta mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya. Karena itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada-Ku. dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, Maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Al-Maa’idah: 44)

Jelas di sini, persoalan parti yang memperjuangkan Islam atau tidak sememangnya tidak ditentukan oleh nama mahupun apa yang dilakukan tetapi ditentukan oleh dasarnya yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Justeru, tiada jalan lain untuk menjadi golongan ‘Nasrallah’ melainkan dengan memperjuangkan kalimah ‘La ila ha illa Allah’. Marilah kita sama-sama muhasabah diri dan berdoa memohon hidayah dan taufik dari Allah agar diberi petunjuk dan kekuatan untuk berubah ke arah kebenaran. InsyaAllah.

Sumber:

http://umno-online.com/?p=4221

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=21726&Itemid=90

http://cikgunurionline.wordpress.com/2008/03/04/ini-buktinyaumno-tolak-islam/