Kisah Lagenda

Sedang termenung di kala pagi mendung, menerbangkan saya ke alam lagenda ceritera dua pahlawan bersaudara Hang Tuah dan Hang Jebat. Entah kenapa tatkala menerawang di dimensi ke empat itu, minda singgah sejenak di  Melaka, sekitar abad ke 15. Mungkin dipengaruhi bahan bacaan sejak akhir-akhir ini yang banyak berkisar tentang alam Melayu.

Gempak gempita bumi Melaka
Guruh berdentum tanah bergegar
Jaguh tersanjung bertarung nyawa
Rasuk ajal teman pendekar

– pantun daripada ‘Hikayat Raja Raja’
Ingatkah anda kisah pergaduhan antara Hang Tuah dan Hang Jebat? Masakan tidak. Sebuah kisah ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan. Sebuah kisah dendam terhadap pemimpin yang zalim. Sebuah kisah persahabatan yang erat.  Kisah lagenda yang sarat dengan nilai pemikiran feudal melayu yang mungkin masih mempengaruhi minda Melayu moden.

Kisah itu berakhir dengan tragedi berdarah iaitu kematian Hang Jebat di tangan saudaranya sendiri Hang Tuah. Pernahkah anda terfikir siapa yang benar? Adakah Hang Jebat yang menyimpan dendam terhadap sultan kerana ingin menuntut bela atas kematian Hang Tuah yang difitnah sehingga segala isi istana yang tidak berdosa menjadi mangsa? Atau Hang Tuah yang taat kepada sultan yang zalim itu secara membuta-tuli sehingga sanggup membunuh saudaranya sendiri yang hanya ingin menuntut bela ke atas dirinya?

Merga Paksi tujuh bersaudara
Pencak silat Kertala Sari
Lihat lenggok Tuan Laksamana
Dibuai kilas Taming Sari

– pantun daripada ‘Hikayat Raja Raja’

Parti Hang Tuah

Mungkin ‘Parti Hang Tuah’ akan menyokong Hang Tuah atas dasar ketaatannya kepada pemimpin. Yang terlebih fanatik mungkin menggunakan dalil ini:

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan ulil amri di antara kamu…..” (An-Nisa’: 59)

Namun mereka terlupa yang ayat ini ada sambungannya:

“……… Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”

Allah menjelaskan bahwa ciri-ciri utama Ulil Amri Minkum yang sebenarnya ialah komitmen untuk selalu mengembalikan segenap urusan yang diperselisihkan kepada Allah (Al Qur’an) dan Rasul (sunnahnya). Para pemimpin sejati di antara orang-orang beriman tidak mungkin akan rela menyelesaikan berbagai urusan kepada selain Al-Qur’an dan Sunnah Ar-Rasul. Sebab mereka sangat faham dan meyakini pesan Allah:

”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Al-Hujuurat: 1)

Parti Hang Jebat

Lalu bagaimana pula dengan ‘Parti Hang Jebat’? Pastinya mereka dengan sepenuh hati menyokong Hang Jebat kerana berani menegakkan keadilan. Dialah hero rakyat yang sudah bosan dan letih ditindas pemerintah. Bak kata Hang Jebat si ‘hero’:

“Raja adil raja ku sembah, raja zalim raja ku sanggah.”

Namun Allah juga berpesan:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedang kamu Mengetahui.” (Al-Baqarah: 42)

Lalu anda di pihak mana?

Sejenak mendalami ilmu-ilmu feqah, satu prinsip yang perlu difahami dengan teliti dan mendalam, dalam soal syariat, antara yang benar dan sesat itu ada pertengahan. Dan kebenaran itu tidak bersifat tunggal umpama cahaya putih yang terbias menghasilkan 7 warna spektrum yang indah.  Namun itu soal syariat, bukan soal Akidah yang perlu dicermati. Rosak akidah, hancurlah Islam.

Sebagai penutup, ingin dikongsi satu ayat Al-Quran sebagai renungan:

”Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata: “Alangkah baiknya, andaikata kami ta`at kepada Allah dan ta`at (pula) kepada Rasul”. Dan mereka berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menta`ati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar). Ya Tuhan kami, timpakanlah kepada mereka azab dua kali lipat dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar”. (Al-Ahzab: 66-68)

Rujukan: