Assalamualaikum,

“Dan hendaklah takut (kepada Allah) orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan zuriat yang lemah di belakang mereka yang mereka khuatir terhadap kesejahteraannya. Oleh sebab itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah, dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar.” (An-Nisa’: 9)

Sayang rasanya blog ini untuk ditinggalkan ‘berhabuk’ begini. Ada baiknya untuk kali ini saya kongsi sedikit ilmu yang diperolehi dalam Forum Baitul Muslim bersama panelis hebat Tuan Habiburrahman El-Shirazy (Penulis Novel Best-Seller Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih) dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (Blogger di Saifulislam.com) di Dewan Canselor UTP semalam. Buat pertama kalinya dapat melihat dan mendengar mutiara kata daripada dua orang tokoh hebat ini. Terasa begitu bersyukur diberi peluang untuk bersua dengan dua orang tokoh yang saya kagumi (walaupun saya langsung tidak memiliki buku tulisan Tuan Kang Abik… haha). Dalam post ini, hanya berminat untuk membincangkan 2 isi penting yang diulas dengan begitu indah oleh Kang Abik dan Ustaz Hasrizal.

Visi dan misi

Tuan Kang Abik menekankan untuk membina sebuah baitul muslim yang sejahtera, perkara paling penting yang perlu diambil kira ialah visi dan misi yang sama. Beliau memberi beberapa contoh daripada Al-Quran. Antaranya Nabi Nuh dan isterinya. Seorang begitu taat kepada Allah, manakala seorang lagi kafir. Akhirnya mereka terpisah akibat banjir besar yang melanda. Manakala untuk pasangan Abu Jahal dan Ummu Jamil, mereka mempunyai visi dan misi yang sama dalam menegakkan jahiliyyah dan menentang Islam. Mereka ‘bahagia’ dengan saling mendokong menjatuhkan Rasulullah dan akhirnya sama-sama ke neraka. Contoh yang terbaik pastinya Rasulullah SAW dan isteri-isteri baginda.

Membina rumah tangga bukan sesuatu yang mudah. Ia antara hidup dan mati, ia antara bahagia dan duka, ia antara syurga dan neraka. Perlu hala tuju yang sama. Tiada harmonis andai yang satu mahu ke syurga dan satu mahu ke neraka. Pastinya asas untuk kebersamaan ini adalah taqwa.

Kurangkan mencari, banyakkan ‘menjadi’

Ustaz Hasrizal banyak mengemukakan analogi-analogi menarik yang begitu dekat dengan jiwa kami selaku pelajar bidang teknikal. Antaranya berkenaan konsep kebebasan dalam Islam yang dibandingkan dengan analogi lampu isyarat trafik. Idea Ustaz Hasrizal dilihat mempunyai banyak persamaan dengan idea yang dibawa oleh Stephen R. Covey dalam buku beliau yang begitu terkenal ‘7 Habits of Highly Effective People’. Sudah pasti idea-idea sebegitu lebih mudah untuk dihadam oleh golongan professional yang menjadi sebahagian besar audiens dalam majlis tersebut. Beliau mendedahkan satu fakta bahawa dalam kalangan CEO-CEO berjaya di dunia, hanyalah 30% memiliki kehidupan berkeluarga yang bahagia dan produktif sebagaimana syarikat masing-masing. Lalu persoalannya di mana 70% lagi?

Satu lagi konsep yang sangat menarik yang dibawa ialah kurangkan mencari dan banyakkan ‘menjadi’. Tidak dapat dinafikan lagi. Kita suka memilih-milih. Mahu yang cantik, kaya, solehah dan seumpamanya. Namun kita lupa untuk muhasabah diri sendiri. Siapa kita? Sehebat Muhammadkah tatkala mahu mencari wanita sehebat Khadijah? Setampan Yusufkah tatkala mencari wanita secantik Zulaikha? Benar sekali. Banyakkan berusaha untuk menjadi hebat dahulu daripada berfikir untuk pasangan yang hebat. Tatkala kita hebat, ‘semulajadinya’ yang hebat juga akan tertarik. Bukankah Allah telah berfirman:

“perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik……” (An-Nur: 26)

Itu sahajalah sedikit perkongsian kali ini. Maaf tak dapat meneruskan siri Bas Dua Tingkat.

P/S: Tak perlu terkejar-kejar tapi jangan berlengah-lengah. Jodoh perlu diusahakan walaupun sudah ditakdirkan. Tapi perigi mencari timba pun apa salahnya kan? Jangan terlalu jumud. =)