Assalamualaikum

Sudah lama berhajat ingin menulis entri ini, namun tak berkesempatan. Banyak perkara lain perlu diutamakan. Beginilah kehidupan pelajar tahun 3 UTP, penuh dengan projek, presentation, report, test, assignment dan sebagainya. Tujuan entri ini adalah untuk memuhasabah kembali diriku setelah mencecah usia 21 tahun di atas muka bumi Allah ini tepat pada 6.38 pagi, 5 April 2010. Syukur ke hadrat Allah untuk setahun lagi peluang untuk bernyawa tanpa dikenakan sebarang cas. Paling utama, syukur setinggi-tinggi kerana masih ditetapkan dalam Islam dan moga berkekalan hingga ke akhir hayat. Tidak banyak yang ingin dikongsikan di sini melainkan entri yang ditulis sempena ulang tahun ke 20 saya.

Assalamualaikum,

Sukacitanya dan dengan rasa yang teramat bersyukur kepada Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya diri ini masih dapat menikmati dan bersama-sama merentasi jalan yang Engkau kurniakan kepada para anbiya’, ulama’ dan syuhada’… Apakah ada nikmat yang lebih Mulia daripada nikmat Iman dan Islam? Bak kata Khalifah Rasyidun yang ke-2, Saidina Umar Al-Khattab ketika beliau bertandang ke Syam dengan pakaian yang sangat sederhana menyababkan beliau ditegur oleh sebahagian penduduknya. Maka Umar menjawab:

“Sesungguhnya kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka kita tidak mencari kemulian dengan selain Islam”

Mutiara kata ini menandakan sifat zuhud yang dimiliki Umar yang sangat jarang dapat kita lihat dikalangan para pemimpin kita pada hari ini ( Tuan Guru Nik Aziz menampakkan ciri-ciri sebegini) baik yang bergerak dalam Harakah Islamiyah dan apatah lagi para pemimpin korporat.

Tepat pukul 6.38 pagi 5 April 2009, genaplah usia ana sebagai pemuda yang berumur 20 tahun. Sudah 2 dekad rupanya Allah letakkan ana di bumi ini. Teringat pada catatan sejarah Islam tentang seorang tokoh penting Khilafah Uthmaniah iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh. Pada usia 20 tahun, baginda Sultan telah berjaya menakluk Constantinople dan membebaskannya daripada cengkaman raja Kristian yang kejam. Ia menepati sabda Rasulullah S.A.W iaitu:

“Sesungguhnya Constantinople akan dibebaskan oleh sultan yang baik dan rakyat yang baik.”

Betapa sebelumnya, ayah kepada Sultan ini iaitu Sultan Beyazid begitu resah memikirkan hadis ini memandangkan pada ketika itu baginda sudah memenangi terlampau banyak pertempuran. Namun, yang satu ini masih belum dalam cengkaman walaupun setelah berpuluh-puluh cubaan. Sehinggalah, seorang ulama’ telah menyatakan firasatnya bahawa anak kepada Sultan Beyazid bakal memenuhi hadis tersebut. Justeru, dididiknya dengan segala macam ilmu dari ilmu agama sehinggalah kepada ilmu perang.

Pada usia 16 tahun, Sultan Muhammad sudah mampu memerintah sebuah khilafah agung dan mengetuai beberapa siri perang menentang musuh-musuh Allah. Sehingga tiba masa untuk menakluk Constantinople, baginda mengalami ujian yang cukup getir dengan terpaksa mengepung kota itu berbulan lamanya kerana tiada jalan untuk memasukinya. Kapal-kapal perang pula tidak boleh melepasi Golden Horn. Tatkala, umat Islam dalam keadaan lemah dan hampir berundur, Allah telah mengilhamkan baginda satu idea yang amat futuristik dan cukup dikagumi oleh para sejarawan sehinggalah ke hari ini. Baginda telah mengarahkan tentera-tenteranya untuk mengalihkan kapal-kapal perang mengikut jalan darat dalam hanya satu malam! Subhanallah, strategi sebegini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara pun pada ketika itu menyebabkan kerajaan Byzantine terlalai dan mengakibatkan kekalahan yang amat memalukan kepada Byzantine. Kemenangan besar dan bermakna buat Islam.

Nah! Lihatlah betapa hebatnya Sultan Muhammad Al-Fateh yang tidak pernah meninggalkan qiamullail sejak dari baligh. Ya Allah, betapa rendahnya martabat diri ini. Man ana? Siapakah ana pada usia 20 tahun ini? Masih lagi seorang remaja yang merangkak untuk mengenali dunia. Ya, mungkin sudah boleh dianggap ‘berlari’. Bagi mengatakan sudah sampai di destinasinya itu, masih diragukan. Cuma ana berpegang pada ayat Al-Quran yang bermaksud:

“Tidak aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepadaku” (Al-Zariyat: 56)

Bagaimanapun, usia ini menandakan satu permulaan kepada perjalanan yang penuh getir. Bagi kebanyakan anak Melayu zaman bapa-bapa kita dahulu, usia ini menandakan permulaan memikul tanggung jawab membantu keluarga. Bagaimana dengan generasi kita? Mungkin usia ini, kita hanya memikirkan keseronokan nikmat hidup di universiti ataupun rasa ingin berjoli bersama kekasih masing-masing. Lumrah hidup muda-mudi hari ini.

Selama 2 dekad ini, ana telah mengalami beberapa evolusi identiti dari seorang anak manja, kepada budak nakal, seterusnya kepada seorang nerd, ‘politikus’ muda dan akhir sekali yang terkini sebagai seorang aktivis agama, InsyaAllah. Ternyata, hidup dengan perjuangan menegakkan kalimah La ila ha illallah merupakan nikmat yang paling membahagiakan.

Wishlist bagi dekad ketiga kehidupan:

1. Intima’ dengan gerakan Islam terkemuka Malaysia.

2. Menguasai Bahasa Arab dengan baik

3. Mendirikan rumah tangga bahagia bersama isteri yang memahami perjuangan.

4. Memelihara dan mendidik anak-anak menjadi insan soleh dan solehah.

5. Meneruskan pembelajaran diperingkat Master dan Ph.D.

6. Mati dalam keadaan sedang berjihad (syahid).

Moga-moga, usia ini akan mematangkan lagi diri dan menyemarakkan lagi usaha untuk menegakkan syiar Islam bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain. Insyaallah. Doakan saya rakan-rakan sekalian. Istiqamah dalam perjuangan sampai mati.

Sekian, Selamat Hari Lahir buat diri ini dan terima kasih kepada Abah dan Umi(walaupun saya tahu mereka tak akan bukak blog ni) yang menjadi penyokong dan pendokong istimewa dari dulu hingga kini. Kepada adik-adik, Faqih, Faiq dan Farah, maaf atas segala kelemahan diri dan terima kasih atas sokongan. Kepada para sahabat dan sahabiat, terima kasih kerana sanggup menerima diri ini seadanya dan membantu dalam segala hal. Doakan kejayaan ana dunia akhirat.

sumber: http://youthjihadjadid.blogspot.com/2009/04/2-dekad-berlalu.html

Ulang tahun ke 21 ini agak istimewa kerana diraikan dengan cara agak ‘berbeza’ oleh kawan-kawan TEC. Sangat terharu sebenarnya, hampir-hampir menitis air mata. Terima kasih banyak-banyak. Saya tak minta apa-apa pun daripada kalian melainkan sama-sama kita berubah dan meningkatkan amal kita untuk mengejar mardhatillah. Tidak kiralah di mana pun kalian nanti.

Tiup kek birthday ke 21… Thanx sume atas pranknya! haha

Untuk Wishlist, pastinya tidak banyak berubah daripada sebelumnya. Masih sama. Sekali lagi terima kasih semua atas sokongan selama ini terutamanya Ibu bapa saya sendiri. Rakan-rakan terutama sahabat TEC, terima kasih kerana memberikan kenangan yang tak mungkin dilupakan seumur hidup. Tak mungkin ada lagi perkara seumpama itu berlaku dalam hidup ini, kerana jalan kita sudah berbeza cuma hala tuju tetap sama.