Ke mana arah tuju hidup kita?

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, masih lagi diberi kelapangan masa untuk terus mengorak langkah berusaha, berikhtiar, berjuang dan berjihad mengejar keredhaan Ilahi. Adapun yang terzahir di pandangan mata ini hanyalah fana belaka. Tiada yang kekal melainkan Allah SWT. Syukur dikurniakan mata untuk melihat lebih daripada 10 juta warna, darah yang mampu menempuh perjalanan lebih 168,000,000 batu sehari tanpa servis untuk menghantar oksigen ke seluruh sel badan. Kereta pun perlu diservis setiap kali selepas 5000 km. Segalanya dianugerahkan kepada kita untuk menunaikan satu tuntutan Allah.

“ Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah (mengabdikan) diri kepada Ku “. (Az-Zariyaat: 56)

Tujuan Hidup

Setelah sebulan menjalani praktikal di AMD, sedikit bergolak iman yang rapuh ini dirempuh badai ujian dari segenap penjuru. Terkadang rebah menjengah lantai. Terkadang luka berdarah. Namun begitu, kita tidak mampu untuk beralih arah. Kerana arah tuju kita hanya satu. Hanya satu dan tiada yang lain darinya. Biar susah, biar perit, biar berdarah, itulah arah tuju kita, itulah hidup dan mati kita.

Ibaratnya kita di dalam hutan rimba. Belakang ada harimau yang mengejar. 10 km di hadapan, ada sebuah helikopter menanti untuk membawa kita lari jauh supaya selamat daripada cengkaman harimau tadi. Kita tiada pilihan selain menempuh onak dan duri untuk sampai ke helikopter itu.

Merenung sejenak ayat di atas, Allah telah menggariskan tujuan mutlak kita terus bernyawa di atas muka bumi ini. Tujuan yang paling benar untuk menjana idea tentang cara hidup kita. Ibadah, itulah tujuan kita. Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan dalam salah satu risalahnya bahawa ‘ Setiap perkara yang telah Allah s.w.t perintahkan hamba-hambaNya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.‘

Kerap kali kita terkeliru dalam soal ibadah. Selalu kita beranggapan bahawa hanya ibadah-ibadah khas seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya adalah sebenar-benar ibadah. Tapi tanggapan itu telah lama ditangkis oleh ulama’-ulama’. Justeru, apapun mehnah yang mendatang, hadapilah dengan penuh kesabaran. Ingat matlamat akhir kita. Ikhlas dalam apa sahaja yang dilakukan hanya kerana Allah. Moga-moga setiap langkah kaki, detak jantung dan detik masa yang dilalui menjadi ibadah dan sebab untuk dikurniakan jannah oleh Allah.

Kisah 4 Monyet

Monyet pun bijak

Apa yang akan terjadi andai tiada matlamat hidup yang jelas berpandukan syariat? Pastinya kita tidak faham apa yang kita lakukan selama ini. Setiap kelakuan kita hanyalah berdasarkan gerak hati atau fikiran yang tiada hujung pangkal. Pendirian sentiasa berubah-ubah, hanya pentingkan perut sendiri. Teringat pada satu kajian yang dijalankan terhadap monyet.

Seorang saintis telah meletakkan 4 ekor monyet dalam sebuah kandang dan sebiji pisang digantung di tengah kandang. Apabila, monyet-monyet ini menyentuh pisang tersebut, mereka akan disembur dengan air secara automatik. Seekor daripada monyet-monyet tersebut telah menyentuh pisang menyebabkan mereka disembur dengan air. Selepas kejadian itu, apabila seekor monyet ingin memakan pisang, 3 lagi akan memegang monyet itu supaya mereka tidak disembur.

Apabila seekor monyet dikeluarkan dari kandang dan digantikan dengan yang baru, senario sama berulang. 3 monyet yang lama tadi memegang monyet baru itu bila dia ingin menyentuh pisang tersebut tanpa dia tahu kenapa diperlakukan sebegitu. Lama-kelamaan, monyet baru itu mengikut sahaja perlakuan monyet-monyet lain tanpa mengetahui sebabnya. Bertahun-tahun lamanya, semua monyet ‘1st batch’ itu telah digantikan dengan monyet lain. Tetapi, perkara sama masih berlaku. Mereka akan menghalang mana-mana monyet yang ingin menyentuh pisang tersebut dalam keadaan tidak tahu punca sebenar.

Pernah dengar istilah iman taklid? Kalau kita masih di peringkat ini, apa bezanya kita dengan monyet? Buah tangan untuk kita semua fikir-fikirkan.