Sebentar tadi, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kenaikan harga petrol, diesel, gula dan gas selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Kuala Kedah di Alor Star. Alasannya mengurangkan subsidi untuk menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara. Berikut adalah item yang terlibat:

Produk

Kenaikan Harga

Harga Lama

Harga Baru

Petrol RON 95

5 sen/L

RM 1.80/L

RM 1.85/L

Petrol RON 97

5 sen/L

RM 2.05/L

RM 2.10/L

Diesel

5 sen/L

RM 1.70/L

RM 1.75/L

Gula

25 sen/kg

RM 1.45/kg

RM 1.70/kg

Gas LPG

10 sen/kg

RM 1.75/kg

RM 1.85/kg

Pastinya kenaikan harga ‘ 4 dalam 1’ ini bakal memberikan impak besar kepada rakyat dengan kenaikan bahan-bahan makanan, ayam dan sebagainya. Benar pengurangan subsidi mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara yang dikatakan sebanyak RM 362 Billion iaitu mencecah 54% daripada GDP negara. Walaubagaimanapun, beberapa persoalan besar timbul di sini. Pertama, apakah hutang tersebut yang dikatakan akan menyebabkan Malaysia muflis pada tahun 2019 berpunca daripada subsidi sahaja atau kerana ketirisan, sikap boros dan rasuah? Kedua, adakah pihak penguatkuasa mampu menjamin kawalan kenaikan harga barang-barang lain akibat kenaikan harga 4 bahan ini?

Dari mata kasar rakyat, jelas menteri-menteri terus hidup mewah, boros malah mampu tambah bini lagi! Ditambah pula dengan majlis keramaian yang menelan belanja berjuta-juta dan kapal selam yang tidak signifikan langsung untuk dibeli. Dari aspek penguatkuasaan, hambar. Masuk Aduan Rakyat di TV3 baru terhegeh-hegeh ‘mencari mangsa’. Kita nampak ia sekadar melepas batuk di tangga saja. Kurang pengetahuan, malas dan rasuah adalah antara punca pengawasan harga dan bekalan sangat lemah.

Kita bimbang dengan pengurangan subsidi ini inflasi meningkat berlipat ganda, daya pengeluaran menurun, kuasa membeli menurun dan sekaligus melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Isu ini memang sangat rumit. Perbahasan mengenainya cukup panas dan sensitif. Mungkin kerana itulah kerajaan pimpinan Dato’ Seri Najib memilih untuk mengumumkannya sebaik sahaja sidang parlimen habis bersidang. Persoalannya, mampukah kerajaan ini menjamin kesejahteraan rakyat dengan tindakan ini setelah terbukti segala macam ‘skandal’ yang berjaya didedahkan sejak akhir-akhir ini? Anda yakin? Saya tidak.