Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah kerana buat ke sekian kalinya diberikan kekuatan untuk menulis. Tempoh praktikal benar-benar menguji imanku. Tiada lagi sahabat untuk mengejutkan diri ini untuk bangun subuh, tiada lagi bacaan ma’thurat beramai-ramai, tiada lagi liqa’ Al-Mulk, tiada lagi Qiamullail Perdana. Pendek kata, segalanya benar-benar atas kemahuan, kemampuan dan usaha sendiri. Tiada lagi dorongan sahabat umpama di kampus dulu. Walau bagaimanapun, kita mesti yakin janji Allah

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Al-Baqarah: 286)

Zikrullah

Kusut, kemelut, resah, tekanan membuatkan diri ini mencari minuman hati untuk memadamkan dahaga tarbiyyah. Alhamdulillah, sebentar tadi diberi peluang untuk berada dalam satu majlis ceramah sempena ketibaan ramadhan di Surau Al-Irfan. Sejuk hati melihat ramai kanak-kanak memenuhi ruang surau. Pemandangan yang cukup sukar dijumpai pada zaman kini. Selepas solat, zikir mula dialunkan. Panjang zikirnya ditambah pula merdu suara imam begitu mengasyikkan. Zikir-zikir itu membuatkan hati ini sebak tatkala terlalu menghayati. Membawa fikiran melayang menyusuri masa-masa lalu, merenung dan muhasabah kembali diri yang penuh noda. Rasa hati ini sedikit terisi dan tenang. Maha benar ayat Allah

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

Kita ini dhaif dan lemah. Setiap saat kita perlu bantuan. Bantuan oksigen, bantuan kesihatan, bantuan ketenangan. Bantuan-bantuan yang diperlukan itu siapa pemiliknya? Tak akan kita tidak tahu dari mana kita dapat. Kalau kita sedar ini semuanya di dalam fikiran setiap masa, atau di dalam perasaan, sentiasa mengingati Allah, itulah ibadah. Ibadah tanpa perbuatan, ibadah batin atau ibadah rohaniah namanya. Perasaan itu atau kesedaran itu adalah diberi pahala.

Barisan di Padang Mahsyar

Penceramah sebentar tadi telah berkongsi kisah menarik berkenaan Muaz bin Jabal. Beliau telah bertanya Rasulullah SAW berkenaan firman Allah:

”Pada suatu hari (Kiamat) dimana sangkakala ditiup, maka kamu sekalian bangkit dan datang (berkumpul di padang mahsyar) berpuak-puak” (An-Naba’: 18)

Lalu, serta-merta Rasulullah SAW menangis sehingga basah pakaian baginda. Lalu menjawab : “ Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan diiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri. 11 masuk neraka dan hanya 1 masuk syurga. ” Maka Baginda menyatakan barisan-barisan tersebut

BARISAN PERTAMA

  • Diiring dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki.
  • dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang-orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya, maka demikianlah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KEDUA

  • Diiring dari kubur berbentuk babi hutan.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KETIGA

  • Berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KEEMPAT

  • Diiring dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang berdusta di dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka”.

BARISAN KELIMA

  • Diiring dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah SWT menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui oleh manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah SWT, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KEENAM

  • Diiring dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KETUJUH

  • Diiring dari kubur tanpa mempunyai lidah tetapi dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KELAPAN

  • Diiring dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KESEMBILAN

  • Diiring dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara yang tidak sebenarnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KESEPULUH

  • Diiring dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan penyakit sopak dan kusta.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KESEBELAS

  • Diiring dari kubur mereka dengan berkeadaan buta mata-kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.
  • Datanglah suara dari sisi Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih, “Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka”.

BARISAN KEDUA BELAS

  • Mereka diiring dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat.
  • Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih, “Mereka adalah orang yang beramal salih dan banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih”.

Sama-samalah kita berdoa moga tergolong dalam barisan ke 12. Sesungguhnya, mati itu adalah sebaik-baik peringatan. Moga bermanfaat insyaAllah.